Skip to content

Melangkah ke dalam apartmen tiga-bilik milik adik beradik, Teo Yen Eng dan Teo Yen Teck, ia mungkin seperti berada di rumah kepunyaan pesara-pesara lain yang tidak mempunyai kesan masa lalu.

Tiga dewa-dewa,tingginya lebih kurang botol bir yang besar, terletak di penjuru bilik – pada mulanya mengancam tetapi lama-kelamaan menjadi lembut. Di dapur, anda akan menemui koleksi kerang laut yang diantaranya sebesar bola tampar.

Potongan-potongan akhbar yang telah dibingkaikan, terutamanya yang memaparkan adik-beradik Teo ini memikat perhatian kami. Sambil mengamati kawasan ruang tamu, kami terjumpa beberapa buku yang telah disusun rapi yang mengandungi gambar-gambar asli hitam putih yang melakarkan kehidupan di luar Singapura – di Pulau Seking.

Dalam sebuah kampong, semua orang saling prihatin tentang satu sama lain. Itulah yang paling penting.

Teo Yen Eng, yang pernah membuka kedai runcit di Pulau Seking.

“Kedai kami adalah satu-satunya kedai Cina,” Yen Eng, sekarang berumur 90 tahun, berkata dalam bahasa Hokkien. Walaupun mereka pastinya telah menceritakan sedemikian berkali-kali, mereka tetap berkongsi bersama sesiapa sahaja yang minat untuk mendengar. Yen Eng bermula dengan menerangkan kecilnya pulau itu – hanya 30 minit untuk jalan dari hujung ke hujung.

“Singapura sarat dengan flat-flat HDB yang tinggi pada waktu itu tetapi di Seking,” katanya, “sekelilingnya rumah-rumah atap dan pokok-pokok.”

Waktu itu, beliau telah kahwin dan anak-anaknya sudah pun mula bekerja. “Saya bebas dan tidak ada apa-apa yang perlu dilakukan,” katanya, “oleh itu saya pergi ke Seking.”

Mereka tiba di pulau itu pada awal tahun 1970an untuk membuka kedai runcit untuk menjual barang-barang keperluan seperti gula dan beras bagi penduduk-penduduk di situ. Beliau akan menetap di situ selama dua hingga tiga minggu sebelum pulang ke pangkuan keluarganya di Singapura.

Kedai runcit itu juga merupakan rumah mereka. Apabila penduduk-penduduk pulau datang untuk membeli barang keperluan, mereka akan berbual mesra antara satu sama lain. Mereka mengingat kembali hanya ada 58 keluarga di situ pada waktu itu.

“Di kampong, semua orang prihatin tentang satu sama lain,” Yen Eng berkata. “Itulah yang paling penting.”

Walaupun kedai mereka tutup pada pukul 10 malam, kadangkala, para penduduk pulau rasa lapar pada waktu malam ataupun apabila baru sahaja pulang dari menangkap ikan selepas pukul 12 malam untuk dijual. “Kedai kami satu-satunya kedai di situ, jadi apa yang kami boleh buat?” Yen Teck, seorang bujang, kata dalam bahasa Hokkien. “Pukul 11 malam ke tengah malam ke, kami tetap buka pintu kami.”

Perhubungan mereka dengan para penduduk pulau itu berteraskan kepercayaan dan hormat antara satu sama lain. Olehsebab ramai penduduk pulau kekurangan bahan-bahan keperluan, mereka akan memberi jaring dan ceracap supaya para penduduk pulau dapat mencari nafkah hidup. Pada zaman itu, dawai untuk dibuat bubu ikan bernilai sebanyak $100 – harga yang tinggi pada tahun 1970an.

Yen Teck tambah dengan menyatakan bahawa apabila penduduk pulau pulang dari menangkap ikan, mereka akan bayar balik dengan ikan yang ditangkap. Kadangkala, mereka akan bayar dengan beras dan gula.

“Kita tidak boleh habis makan pun ikan yang diberi,” individu yang berumur 82 tahun itu berkata, “tidak perlu beli pun.” Setiap hari, mereka akan pergi ke Jurong untuk jual ikan. Apabila pulang, mereka akan bawa bersama ais untuk menyimpan tangkapan hari selanjutnya.

Salah satu ciri yang anda akan kesan ialah kedua pasang telinga adik beradik Teo itu. Telinga mereka jabing, seolah dapat mendengar apa sahaja yang kami katakan dan tidak lama dahulu, ianya mendengarkan bunyi lautan yang tenang.

Ia sesuatu yang para penduduk pulau itu telah jangkakan. Mereka sedar bahawa hidup di pulau itu akan berakhir. Kedua-duanya ingat tarikhnya: 24 April 1994.

Pada hari itu, mereka membahagikan barang-barang mereka – beras, gula dan perkakas-perkakas lain – kepada teman-teman di kepulauan Indonesia yang berdekatan. Mereka hanya membawa pakaian mereka bersama.

Yang paling menyayat hati ialah apabila mereka terpaksa membakar nafkah pencarian mereka: bot mereka.  Kosnya tinggi untuk membawa bersama bot mereka, lantas mereka membuat keputusan untuk membakarnya di Pulau Seking.

Mereka di antara keluarga yang terakhir – ada empat keluarga – untuk meninggalkan pulau itu. Penghulu kampong bersama kita pada waktu itu. “Tidak ada sesiapa pun yang berkata apa-apa,” Yen Teck tambah, terlalu sedih untuk mengatakan apa-apa. Hingga sekarang, beliau masih lagi kaku tinggal di Singapura.

“Di pulau, kami bebas,” katanya. “Kami tidak bebas di sini.”

Mereka berkesempatan untuk pulang sekali pada tahun 2004 ke Tempat Pembuangan Sampah Semakau – Seking dan Semakau telah disatukan melalui penambakkan tanah. Tempat Pembuangan Sampah ini diisi abu sampah hasil daripada empat loji pembakaran yang membakar sampah-sarap negara ini.

Tapi ia tidak sama. “Rumah-rumah semua telah dirobohkan,” Yen Teck berkata. “Hinggakan pokok kelapa  pun telah lenyap.”

“Di pulau, kami bebas. Kami tidak bebas di sini.”

Teo Yen Teck, yang pernah membuka kedai runcit di Pulau Seking.

Back To Top